Rabu, 29 Mac 2017

Tewas selepas mencuba


 

ARKIB : 17/03/2003
PEMAIN MALAYSIA, Mohd. Safee Mohd. Sali (kiri) dirempuh pemain Korea Selatan, Lee Jong Min dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 2-0.

SKUAD negara membuktikan kemampuan untuk menyaingi kehebatan Korea Selatan tetapi terpaksa akur dengan kelebihan taktikal pasukan lawan apabila tumpas 2-0 pada perlawanan merebut tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malah, dua gol kemenangan Korea Selatan oleh Jung Jo-gook dan Kim Dong-hwan pada babak kedua perlawanan hanya mampu dihasilkan selepas kedua-duanya bekerja keras untuk melepasi benteng Malaysia yang sentiasa membayangi penyerang lawan.

Malaysia juga nyaris memperoleh dua gol tetapi kecetekan pengalaman kurang keyakinan diri menyebabkan pemain terpaksa berputih mata.

Korea Selatan, pasukan yang mengadakan persiapan menjelang Piala Dunia Belia di UAE, jelas memiliki kelebihan dari segi fizikal dengan larian penuh bertenaga.

Namun, mereka hanya mampu menggegarkan jaring gol skuad binbingan jurulatih K. Rajagopal pada minit ke-42 apabila Jo-gook menanduk masuk hantaran silang sayap kiri, Lee Jong-min hanya untuk berasa kecewa apabila dia didapati berada dalam keadaan offside.

Dua minit selepas itu, pertahanan Korea Selatan pula cemas apabila MALAYSIA melancarkan serangan pantas.

Pemain tengah, Tengku Alias Tengku Ibrahim menerima bola hantaran jauh sebelum melorongkannya kepada R. Surendran yang kemudian menewaskan seorang pertahanan lawan tetapi percubaannya tersasar sedikit di sebelah kanan gawang lawan.

Malaysia kemudian nyaris mendapat gol pada minit ke-79 tetapi, sepakan percuma Mat Saiful Mohamad dari jarak kira-kira 20 meter hanya terkena palang.

Dua minit sebelum itu, Korea Selatan mendapat gol semangat apabila Jo-gook menanduk masuk hantaran lintang Kim Young-chul.

Perlawanan yang kemudiannya agak seimbang bagaimanapun terus menyebelahi Korea Selatan, juara Kejohanan Belia Asia tahun lepas, apabila mereka memperoleh gol kedua ketika permainan berusia 88 minit, kali ini menerusi tandukan Dong-hwan hasil sepakan sudut Jong-min.

Jurulatih skuad negara, Rajagopal jelas berpuas hati dengan persembahan anak didiknya terutama Mohd. Fadzli.

``Mereka menunjukkan mutu permainan yang bagus. Mereka tidak gentar menghadapi skuad Korea Selatan yang memiliki reputasi lebih baik di peringkat antarabangsa,'' kata Rajagopal selepas perlawanan, sambil mengingatkan bahawa Korea Selatan berada pada ranking kedua Asia manakala skuad negara di tangga ke-18.

``Fadzli juga menunjukkan bahawa dia boleh pergi jauh dan mempunyai harapan untuk diserapkan ke dalam skuad sukan SEA hujung tahun ini tetapi ia bergantung kepada perancangan,'' jelas bekas jurulatih Kelantan itu.

Namun, Fadzli terpaksa digantikan dengan Mohd. Safee Mohd. Sali pertengahan babak kedua setelah mengalami kecederaan.

Rajagopal turut memuji Yosri Derma Raju dan M. Ravinthiran yang dianggapnya beraksi dengan cemerlang sepanjang kejohanan itu.

Jurulatih Korea Selatan, Park Sung-hwa turut mengakui kemampuan yang dimiliki oleh skuad negara.

``Mereka mempunyai kemahiran mengawal bola seperti pemain-pemain Brazil dan telah memberikan saingan kuat kepada kami.

``Bagaimanapun, kami juga tidak dapat menurunkan pasukan terkuat kerana empat pemain tonggak kami cedera,'' jelasnya.

MALAYSIA - Mohd. Helmi Eliza Elias, M. Ravinthiran, Yosri Derma Raju, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Mohd. Norhisham Hassan, R. Surendran, K. Linggam, Noor Zaidi Rohmat (Mohd. Firdaus Mokhtar), Mat Saiful Mohamad, Rudie Ramli, Mohd. Fadzli Saari.

KOREA SELATAN - Kim Young-kwang, Oh Beo-seok, Kim Chi-woo, Kim Chi-gon (Yeo Hyo-jin), Park Ju-sung, Kim Jin-kyu, Lee Jong-min, Jung Jo-gook, Lee Gil-hoon (Han Jae-woong), Choo Sung-yoon (Kim Young-chul), Kim Dong-hwan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cjBpNbJe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kecederaan resahkan Rajagopal

ARKIB : 08/03/2003
MASALAH kecederaan terus menghantui persiapan pasukan bola sepak bawah 21 tahun Malaysia menjelang pertemuan menentang Brazil pada kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Malaysia FAM-ProEvents 2003 yang akan berlangsung pada 13 hingga 16 Mac ini.

Terbaru, pemain tengah, Mohamed Fadzli Shaari mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan dengan kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor, malam kelmarin.

Keadaan itu jelas memeningkan jurulatih, K. Rajagopal yang hampir pasti tidak dapat mengggunakan khidmat dua lagi pemain, Harizal Izwan dan Mohamed Ghazali Jamil yang masih cedera bagi pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Mac ini.

``Fadzli cedera selepas perlawanan persahabatan semalam (kelmarin). Kecederaannya tidak begitu serius dan dia mungkin terpaksa berehat sekurang-kurangnya empat hari,'' kata Rajagopal ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Jurulatih itu berharap Fadzli, salah seorang pemain berpengalaman dalam skuad itu selain Rudie Ramlie, dapat kembali beraksi bagi membimbing pemain-pemain lain yang masih cetek pengalaman.

Dengan hanya lima hari sebelum perlawanan tersebut, Rajagopal tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyenaraikan pemain-pemain lain menggantikan mereka yang cedera dan terpaksa menjana strategi menggunakan barisan sedia ada.

Jurulatih itu juga tidak mahu memberi tekanan kepada pemain-pemain muda bimbingannya atau mengharap mereka mencipta keajaiban pada pertemuan dengan Brazil nanti
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ciG89CE6

SUMBER© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 Mac 2017

Malaysia mengganas

ARKIB : 18/10/2001
MALAYSIA mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Sekolah-Sekolah Asia MSSM/FAM/ F&N selepas mengganas di Stadium KLFA, Cheras dengan menundukkan Brunei, 7-0, semalam.

Pemain tengah, Bobby Kaliwon dan Badrul Azam Zamri masing-masing menjaringkan dua gol manakala Fadzli Saari, Ahmad Syamil Shukur dan Khairul Izwan Khalid masing-masing menjaringkan satu gol untuk mencatatkan kemenangan terbesar Malaysia dalam kejohanan ini.

Bobby memperoleh gol pada minit ketiga dan 76 sebelum Badrul Azam menambah dua lagi gol (16 dan 26), Fadzli (30) dan Khairul Izwan (50). Badrul Azam tepat ke gawang gol Brunei.

Malaysia akan berhadapan dengan Korea Selatan pada separuh akhir esok, manakala Thailand pula menentang Indonesia dalam satu lagi perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Selayang, Hong Kong seri 1-1 dengan Sri Lanka.

Gol Hong Kong dijaringkan oleh Shum Kwok Wai pada minit ke-61 dan Sri Lanka oleh Mohamed Irfan, minit ke-13.

Terdahulu, Korea Selatan menewaskan India 5-0 di Stadium Selayang dan gol dijaringkan oleh Kim Hyeung Bum (34, 37, 86), Shim Jae Won (66) dan Kim Hyun Joon (68), sementara China seri dengan Vietnam, 1-1 di Stadium KLFA, Cheras.

Gol China dijaringkan oleh Jin Tao (77) dan gol Vietnam dilakukan oleh Huynh Ngoc Long (19).
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4blmPRaKC © Utusan Melayu (M) Bhd


Skuad negara garang - Bola sepak Bawah 18


 

ARKIB : 15/10/2001
PEMAIN negara, Badrul Azam Zamri (kanan) cuba dihalang oleh pemain Sri Lanka, Mohamed Irfan dalam aksi Kumpulan A bola sepak Sekolah-Sekolah Asia di Stadium KLFA, Cheras, semalam. Malaysia menang 4-0. - Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN.

Malaysia...     4 Sri Lanka... 0

Thailand... 7 Brunei... 0

Indonesia... 1 India... 1

Korea Selatan... 1 China... 0

TUAN rumah, Malaysia menghampiri pintu separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Sekolah-Sekolah Asia apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menundukkan Sri Lanka 4-0 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium KLFA, Cheras, semalam, LAPOR A. JAILANI ABDULLAH.

Malaysia bagaimanapun melepaskan banyak peluang keemasan pada babak pertama dan hanya mampu mendahului 1-0 menerusi percubaan cantik Muhd. Sofizal Sokhini di hujung kawasan gol selepas dia memusingkan badan pada minit ke-22.

Permainan memberangsangkan hanya ditunjukkan oleh anak buah Aminuddin Husin hanya selepas babak kedua bermula. Asakan skuad negara membuahkan hasil apabila pemain pertahanan Sri Lanka, Shemal Perera tersepak masuk ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hasil sepakan kencang Khairul Izwan Khalid pada minit ke-46.

Gol kedua itu menyuntik semangat skuad tuan rumah yagn menambah gol ketiga apabila Khairul menanduk masuk sepakan sudut Nik Zulaziz Nawawi pada minit ke-62. Malaysia yang menewaskan Hong Kong 3-1 dalam perlawanan pertamanya kelmarin, menambah gol keempat pada minit ke-65 hasil gerakan cantik pemain berpengalaman, Mohd. Fadzli Shaari yang membuat hantaran lintang di depan pintu gol bagi memudahkan Bobby Gonzales Kaliwon untuk menguis masuk.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, juara bertahan, Thailand menundukkan Brunei 7-0 di Stadium Selayang untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan di atas Malaysia.

Dalam saingan Kumpulan B, Indonesia hanya mampu seri 1-1 dengan India pada perlawanan sebelah petang di Stadium Selayang manakala Korea Selatan menepati ramalan setelah menewaskan China 1-0 dalam satu lagi aksi di Stadium KLFA

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bldRr8ko © Utusan Melayu (M) Bhd

Fadzli pastikan kemenangan


 

ARKIB : 14/10/2001
PEMAIN Malaysia, Amin Shahreen Mubin (tengah) cuba menghalang bola sepakan pemain Hong Kong, Li Hang Wui dalam aksi bola sepak Sekolah-Sekolah Asia di Stadium KLFA, Cheras, semalam. Malaysia menang 3-1. - Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI.

BEKAS pemain kelab Jerman, SV Wehen, Mohd. Fadzli Shaari menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia menundukkan Hong Kong 3-1 dalam Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Sekolah-Sekolah Asia di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Satu lagi gol skuad negara diperoleh menerusi Khairul Izwan Khalid. Gol tunggal Hong Kong dijaringkan oleh Li Chun Wai.

Fadzli membuat sepakan dari jarak kira-kira 20 meter yang tepat ke penjuru atas sebelah kanan gawang Hong Kong untuk gol penyaman.

Gol kedua negara diperoleh pada minit ke-59 menerusi tandukan Khairul Izwan. Tiga minit sebelum wisel penamat, Fadzli membuat larian solo dari kiri ke dalam kawasan gol sebelum menyepak masuk gol ketiga Malaysia. Terdahulu, pasukan pilihan Thailand membelasah Sri Lanka 12-0 di Stadium Maybank, Bangi dalam perlawanan Kumpulan A.

Kitipon Paphu-nga menjaringkan empat gol sementara Ekapan Inthasen dan Banaikongbrabhan masing-masing menyumbang dua gol.

Dalam Kumpulan B, Korea Selatan menumpaskan Vietnam 3-0 sementara Indonesia mengatasi China 1-0 dalam satu lagi perlawanan di Stadium Selayang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4blc8VWz3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Bola Sepak Sekolah Asia: Skuad negara hilang dua tonggak

ARKIB : 12/10/2001
STRATEGI skuad negara dalam menghadapi Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Sekolah-Sekolah Asia mengalami rombakan akibat kehilangan dua pemain teraju, lapor A. JAILANI ABDULLAH.

Dua daripada pemain tonggak itu, Norisham Hassan dan Tengku Alias Ibrahim sepatutnya beraksi di bahagian tengah tetapi terpaksa dikecualikan setelah ditimpa kecederaan di kaki ketika menjalani latihan baru-baru ini.

``Ketiadaan mereka, terutama Norisham dan Tengku Alias menjejaskan rencana pasukan kerana sebelum ini merekalah pemain yang diharap untuk membimbing pasukan,'' kata jurulatih pasukan, Paiza Md. Dom, semalam.

``Ketiadaan kedua-dua pemain itu amat dirasai kerana ia berlaku pada saat-saat akhir,'' katanya lagi.

Selain kedua-dua pemain dari Terengganu itu, dua pemain lain yang digugurkan dari senarai 18 pemain ke kejohanan itu ialah penyerang, Mohd. Saiful Adli Mohd dan Mohd. Al Hafiz Hamzah juga akibat kecederaan.

Kejohanan itu akan berlangsung dari 13 hingga 20 Oktober di Kuala Lumpur. Kehilangan dua pemain berpengalaman itu memaksa Paiza memanggil khidmat pemain Bawah 16 tahun, Ahmad Syamil Shukor.

``Saya menunggu saat-saat akhir untuk membuat pemilihan terakhir kerana mengharapkan mereka dapat sembuh tetapi hampa,'' ujar beliau kesal.

Paiza turut mengembalikan Mohamed Fadzli Shaari ke posisi midfield selepas sebelum ini meletakkan pemain yang pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen itu di bahagian serangan.

``Fadzli akan bertindak sebagai `attacking midfielder' sementara Ahmad Syamil sebagai `defensive midfielder','' jelas beliau. ``Bahagian serangan pula akan diisi oleh Khairul Izuan Khalid dan Amir Shahrin Abdul Mubin.''

Namun, kebimbangan Paiza mendapat sedikit penawar apabila penjaga gol utama, Kam Soon Hong sudah pulih dari kecederaan buku lali yang telah lama dihidapinya.

Soon Hong ialah penjaga gol yang membantu Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan di Bangkok tahun lepas menyebabkan pengalamannya amat berharga kali ini.

Kelmarin, skuad itu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Simpanan Kuala Lumpur yang berkeputusan seri 1-1.

Menurut Paiza beliau mencuba corak bertahan pada perlawanan itu sebagai persediaan menghadapi Thailand, lawan paling kuat Malaysia dalam kumpulan A.

Selain dua pasukan itu, kumpulan A turut diisi oleh pasukan kurang dihormati iaitu, Sri Lanka, Hong Kong dan Brunei.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4blVDXQTE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad negara dilanda kecederaan

ARKIB : 09/10/2001
MALAYSIA berada dalam keadaan sukar menjelang Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia Bawah 18 yang bermula 13 Oktober ini.

Ketika perlawanan sulung Malaysia menentang Hong Kong hanya tinggal lima hari sahaja lagi, skuad negara menerima tamparan berat apabila empat pemain utamanya mengalami kecederaan dalam fasa terakhir latihan.

Mereka ialah pemain tengah, Tengku Alias Ibrahim dan Norisham Hassan dari Terengganu, Amir Shahrim Abd. Mubin dan penjaga gol, Kam Soon Hong.

``Semuanya cedera hari ini,'' kata jurulatih, Paiza Md. Dom ketika perlawanan persahabatan antara anak buahnya dengan skuad Bawah 16 tahun negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Keadaan itu, katanya amat membimbangkan dirinya kerana keempat-empat pemain itu adalah yang paling berpengalaman sekali gus diletakkan harapan untuk membimbing rakan-rakan mereka.

Katanya, percaturan beliau sekarang ialah mengubah posisi pemain tengah, Mohamed Fadzli Shaari, yang pernah bermain dengan kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen ke bahagian serangan untuk mengukuhkan bahagian itu akibat kecederaan Amir Shahrim.

Tengku Alias, pemain tengah skuad Liga-M Terengganu, cedera kaki kanan. Norisham pula cedera ketika perlawanan persahabatan semalam.

Penyerang, Amir Shahrim merupakan penjaring terbanyak ketika beraksi bersama skuad liga simpanan Selangor tahun lepas.

Soon Hong dari Johor adalah penjaga gol berpengalaman yang pernah beraksi dalam kejohanan yang sama ketika di Bangkok tahun lepas.

Kata Paiza, keadaan itu membuatkan beliau terpaksa menangguhkan pemilihan akhir pemain yang sepatutnya dibuat semalam.

Skuad negara yang meletakkan sasaran untuk muncul juara, mula menjalani latihan pusat sejak 24 Ogos lepas. Mereka telah mengadakan sebanyak 12 perlawanan persahabatan termasuk menumpaskan skuad Bawah 16 5-1 semalam.

Skuad negara berada dalam kumpulan B kejohanan selama lapan hari itu, bersama-sama juara bertahan, Thailand, Sri Lanka, Hong Kong dan Brunei.

Kumpulan B pula terdiri dari Indonesia, Korea Selatan, China, India dan Vietnam.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4blKJ3O4B

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 Mac 2017

Wehen minat tiga pemain kita

ARKIB : 09/05/2001
SV Wehen, kelab bola sepak separuh profesional Jerman berminat mengekalkan Rudie Ramli dan Mohd Fadzli Shaari untuk satu musim lagi.

Bekas pengarah remaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Holger Obermann berkata beliau dimaklumkan melalui telefon oleh pegawai Wehen bahawa penyokong pasukan itu gembira dengan sumbangan kedua-dua pemain itu dalam kemenangan ke atas TSV Allendort dalam perlawanan divisyen tiga semi-pro Liga Landes.

Dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam, Obermann berkata, TSV Allendort yang menjadi tuan rumah perlawanan itu mendahului 1-0 sehingga minit ke-70 apabila Rudie menjaringkan gol penyamaan.

Rudie menambah gol kedua hasil gandingannya dengan Mohd. Fadzli untuk membawa pasukannya menewaskan pasukan pendahulu liga TSV Allendort itu 2-1.

Wehen bagaimanapun mungkin gagal bersaing bagi menjuarai liga itu kerana kelebihan gol pasukan lawan, kata Obermann.

Rudie dari Selangor dan Mohd. Fadzli dari Pahang sedang mengikuti latihan sambil bermain dengan Wehen.

Obermaan berkata presiden Wehen, Heinz Han-Kramer telah memaklumkan mengenai minat kelab itu mengekalkan kedua-dua pemain itu tetapi ia menyerahkan kepada pemain terlibat untuk menentukan masa depan mereka.

Kedua-dua pemain itu akan kembali ke Malaysia bulan depan kerana liga itu akan berehat bagi musim panas. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bb0sV0ih

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 15 Mac 2017

Rudie, Fadzli dapat pujian



ARKIB : 11/02/2001
PEMAIN bola sepak remaja negara yang sedang meningkat naik, Rudie Ramli dan Mohd. Fadzli Shaari mendapat banyak pujian di Jerman.

Dua hari selepas tiba di negara itu, kedua-dua pemain muda Malaysia itu telah memberikan persembahan membanggakan dengan pasukan semi-pro SV Wehen dan mendapat banyak pujian daripada rakan sepasukan, jurulatih dan pegawai pasukan itu selepas beraksi selama 90 minit menentang pasukan Germania Wiesbaden.

SV Wehen menewaskan Germania Wiesbaden 6-0 dalam perlawanan liga divisyen tiga Jerman dengan Rudie menjaringkan dua gol. Hasilnya kedua-dua pemain mendapat bonus kemenangan pertama.

Jawatankuasa Jabatan Antarabansga Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Jerman, G. Kempler yang menghubungi Bernama di Kuala Lumpur semalam berkata, persembahan kedua-dua pemain itu boleh disifatkan sebagai cemerlang kerana perlawanan itu dilangsungkan dalam keadaan padang licin dengan salji setebal lima sentimeter.

Beliau berkata, Holger Obermann yang bertanggungjawab membawa kedua-dua pemain itu bermain dengan SV Wehen adalah orang paling gembira selepas perlawanan itu.

``Penglibatan kedua-dua pemain dalam pasukan Olimpik Bawah 23 Malaysia itu telah banyak memberi pendedahan kepada mereka untuk meningkat lebih tinggi di sini,'' kata beliau.

Malah jurulatih pasukan, George Menger puas hati dengan persembahan mereka, kata Kempler.

Jurulatih itu berkata, kedua-dua pemain perlu belajar lebih banyak, terutama apabila berhadapan satu sama satu dengan pemain lawan.

Rudie, 19, dari Selangor dan Fadzli, 18, dari Pahang menandatangani kontrak sebagai pemain separuh profesional dengan SV Wehen pada 22 Januari dengan kontrak bermula 1 Februari hingga 30 Jun.- Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bOHsvpUq
© Utusan Melayu (M) Bhd