Sabtu, 8 April 2017

Harris mahu kekalkan Fadzli



ARKIB : 03/12/2003
Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK

HO CHI MINH - Jurulatih negara, Allan Harris mengekalkan barisan pemain yang sama ketika menentang Kemboja termasuk penyerang yang sedang kemarau jaringan, Mohd. Fadzli Saari apabila berdepan Singapura dalam perlawanan kedua Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA di Stadium Thong Naht, Ho Chin Minh, hari ini.

Walaupun ada ura-ura pemain itu akan direhatkan kerana kurang menyerlah pada perlawanan pertama lalu, Allan masih mempertaruhkan pengalaman Fadzli untuk bergandingan dengan Akmal Rizal Rakhli di barisan depan.

Katanya, Malaysia akan menggunakan kelebihan pemain berpengalaman seperti ini untuk bermula dengan pantas dalam usaha mematikan rentak permainan Singapura berbanding agak perlahan ketika menentang Kemboja.

``Saya mahu pemain lebih awal bertindak dalam mematikan corak permainan Singapura dan dalam waktu yang sama mengharapkan pengalaman empat pemain yang pernah beraksi ketika menang 4-0 pada Piala Tiger lalu membantu pemain lain untuk berbuat demikian.

``Kita mesti menang perlawanan ini jika mahu layak dengan mudah ke separuh akhir tetapi jika pemain memilih jalan sukar, kita terpaksalah membuat perhitungan dengan Myanmar,'' ujarnya.

Empat pemain yang dimaksudkan Allan ialah ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah, Akmal, Fadzli dan Indraputra Mahayuddin.

Gandingan Norhafiz bersama Abd. Aziz Ismail di barisan pertahanan tengah masih terus mendapat kepercayaan Allan walaupun kedua-dua pemain tidak menunjukkan persefahaman yang mantap ketika menentang Kemboja.

Manakala di barisan tengah, Marzuki Yusof dan Juzaili akan membantu barisan pertahanan manakala K. Rajan dan Indraputra akan bertindak sebagai pemain yang akan menyalurkan bola kepada Akmal dan Fadzli.

Sementara itu, Norhafiz berjanji akan memberi persembahan yang lebih baik dalam usaha memperbaiki beberapa kesilapan yang dilakukannya ketika menentang Kemboja, empat hari lalu.

Katanya, kejayaan pada Piala Tiger lalu bukan jaminan Malaysia boleh mencatat kemenangan mudah ke atas Singapura kali ini sebaliknya meminta rakan sepasukan lain tidak terlalu yakin.

``Saya agak perlahan ketika bermain dengan Kemboja kerana bimbang kecederaan lama di kaki akan berulang. Tetapi selepas mengetahui keadaan padang, saya lebih yakin kali ini,'' jelasnya.

Norhafiz hampir membawa padah kepada skuad negara ketika menentang Kemboja apabila kegagalannya membaca pergerakan bola tinggi hampir membolehkan pasukan lawan memperoleh gol pada minit ke-20.

Malaysia perlu menang ke atas Singapura jika mahu layak lebih awal ke separuh akhir untuk mengiringi Myanmar yang dijangka tidak menghadapi masalah menewaskan Kemboja hari ini.

Tetapi jika tewas, Malaysia perlu membuat perhitungan dengan Myanmar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 6 Disember nanti. - Utusan

BARISAN KEMUNGKINAN:
Mohd. Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Abdul Aziz Ismail, Yosry Derma Raju, Irwan Fadzli, Indraputra Mahayuddin, Juzaili Samion, Mazuki Yusof, K. Rajan, Akmal Rizal Rakhli, Mohd. Fadzli Saari

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4diDme1r8
© Utusan Melayu (M) Bhd