Jumaat, 5 Mei 2017

Malam penentu buat Malaysia

ARKIB : 14/12/2004
Pemain Malaysia Mohd Fazly Saari (kanan) cuba menghalang asakan pemain Myanmar, Khin Maung Tun dalam saingan bola sepak Piala Tiger, kelmarin. Malaysia bertemu Thailand malam ini untuk menentukan tempat ke separuh akhir.



HASRAT menggunung skuad bola sepak kebangsaan untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Tiger kini ibarat `nyawa di hujung pedang'.
Pertemuan penting malam ini menentang penyandang juara, Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menentukan hala untung nasib skuad bola sepak kebangsaan sama ada mampu layak ke separuh akhir atau pun tidak.
Malaysia tidak punya banyak pilihan berdepan dengan Thailand dan perlu menang ke atas gergasi bola sepak Asia Tenggara itu bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Keputusan seri atau kalah ini bermakna satu lagi episod kegagalan dan prestasi buruk bola sepak negara di peringkat antarabangsa tahun ini sesudah gagal di pusingan kelayakan Olimpik dan Piala Dunia.
Bukan tugas mudah berdepan dengan Thailand, pasukan yang menjadi pilihan untuk muncul juara Piala Tiger melainkan jika anak didik jurulatih Bertalan Bicskei mempamerkan keajaiban aksi paling hebat untuk mengejutkan lawan.
Atas kertas rata-rata peminat dan pemerhati bola sepak sudah pasti mengakui jika prestasi skuad kebangsaan ketika kalah 0-1 denga Myanmar diambil kira, Malaysia boleh mengucapkan selamat tinggal untuk meneruskan aksi di Piala Tiger.
Malaysia sepatutnya tidak mensia-siakan peluang terhidang sewaktu tewas mengejut kepada Myanmar ekoran kesilapan penjaga gol kebangsaan, Muhamad Syamsuri Mustafa menyulitkan laluan untuk ke separuh akhir.
Gara-gara kegagalan Muhamad Syamsuri menangkap kemas bola hantaran jauh itu, bola yang terlepas jatuh tepat di depan ketua pasukan Myanmar, Soe Myat Min yang mudah menolak masuk gol kemenangan pasukan itu.
Berbekalkan dua kemenangan selesa menewaskan Timor Leste 5-0 dan Filipina 4-1 jelas tidak mampu menyemarakkan semangat juang pemain kebangsaan yang longlai diperkotak-katikan oleh corak permainan pantas dan hantaran kemas Myanmar.
Percaturan jurulatih dari Hungary tidak menjadi kenyataan yang pada mulanya tampak yakin anak didiknya mampu mengekang dan menewaskan Myanmar.
Kemenangan milik Myanmar memudahkan laluan mereka untuk mencipta sejarah buat pertama kali layak ke peringkat separuh akhir selepas gagal melepasi peringkat awal sejak 1996.
Myanmar yang membuat kejutan seri 1-1 dengan Thailand, menang tipis 1-0 ke atas Filipian dan Malaysia hanya perlu menang ke atas Timor Leste untuk mengesahkan tempat mereka ke separuh akhir.
Persoalan yang timbul apa yang dapat dibanggakan dengan barisan pemain kebangsaan dengan jentera serangan membariskan Muhammad Khalid Jamlus, Mohd. Amri Yahyah, V. Saravanan, Liew Kit Kong dan Mohd. Nor Ismail jelas longlai apabila berada di depan pintu gol.
Segalanya terserlah pada babak kedua pertemuan dengan Myanmar ketika Amri dan Khalid dilihat tidak bermaya berdepan dengan kekentalan benteng ampuh lawan.
Tindakan memasukkan dua lagi penyerang, V. Saravanan dan Mohd. Nor Ismail serta D. Surendran juga melihat mereka turut longlai di depan pintu gol.
Tidak banyak dibanggakan dengan jentera serangan skuad kebangsaan yang tidak ada tindakan penyudah terbaik apabila berada di depan pintu gol lawan.
Jika ada Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin yang digugurkan, pastinya nasib skuad kebangsaan tidak seburuk yang dijangkakan.
Apa pun Bicskei terpaksa mengadunkan gandingan paling mantap serta ramuan terbaik untuk mengimbangi corak permainan pantas Thailand.
Sekalipun Thailand bermula agak perlahan dikejutkan dengan keputusan seri 1-1 ke atas Myanmar tetapi mereka menunjukkan belang kelmarin apabila membelasah pendatang baru Timor Leste 8-0.
Keputusan itu memberi amaran bahawa Thailand sudah menemui kembali sentuhan dan pastinya Malaysia bakal rebah longlai daripada mengetuk pintu ke separuh akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gDhdY3i1
© Utusan Melayu (M) Bhd