Jumaat, 28 Julai 2017

Fadzli rehat enam bulan jalani pembedahan


 

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
FADZLI terlepas baki saingan Liga Super musim ini akibat kecederaan lutut.

PEMAIN tengah Selangor, Mohd. Fadzli Shaari terpaksa melupakan baki saingan bola sepak Liga Super musim ini apabila dia terpaksa menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligamen (ACL) hari ini.

Pembedahan pada lutut kanannya itu menuntut Fadzli, 25, bakal menjalani proses pemulihan selama enam bulan dan beliau dijangka hanya boleh kembali beraksi Julai depan.

Menurutnya, kecederaan itu dialami ketika dia turun membantu Selangor menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Shah Alam pada 23 Disember lalu.

“Insiden berlaku sejurus selepas saya menjaringkan gol pertama Selangor. Dalam satu perebutan, berlaku pendaratan tak sempurna dan lutut saya terasa macam ‘meletup’,” kata semalam.

Pada perlawanan tersebut, ia merupakan kali Fadzli menggalas tugas kapten selepas Shukor Adan digantung perlawanan dan ia juga merupakan jaringan pertama Fadzli musim ini.

“Memang kecewa sangat. Ini pertama kali saya mengalami kecederaan teruk yang memerlukan rehat panjang.

“Harapan saya agar rakan-rakan sepasukan dapat terus beraksi cemerlang dalam baki saingan liga,” jelasnya.

Selepas selesai pembedahan ACL hari ini, Fadzli berkata, dia akan menjalani rawatan pemulihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

“Insya-Allah selepas proses pemulihan itu, dalam tempoh tiga bulan seterusnya, saya sudah boleh melakukan latihan ringan di padang.

“Jika segalanya berjalan lancar, saya akan kembali membantu Selangor dalam saingan Piala Malaysia nanti. Doakan saya cepat pulih,” tambahnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4o8qr2qN3

Hakcipta terpelihara