Ahad, 10 September 2017

Selangor tempang tanpa Shukor, Fadzli



ARKIB : 26/12/2006

KUALA LUMPUR – Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui skuadnya tempang tanpa khidmat dua tonggak utama– ketua pasukan Muhammad Shukor Adan dan perancang utama, Mohd. Fadzli Saari yang dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan menghadapi Piala Asia Julai nanti.

Akur dengan kehendak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) demi perjuangan penting menebus maruah negara, Dollah tetap merasakan ketiadaan mereka bakal merubah nasib Selangor selepas ini.

Dua lagi pemain muda Selangor yang turut dipanggil menjalani latihan di bawah jurulatih Norizan Bakar ialah pemain muda Safiq Rahim dan penjaga gol, Syed Adney.

Kehadiran Shukor dan Fadzli kata jurulatih itu menyaksikan Selangor memulakan kempen Liga Super dengan cemerlang memahatkan dua kemenangan menewaskan Melaka 1-0 dan Brunei DPMM 2-1 tetapi tewas 0-1 kepada Telekom Melaka.

‘‘Saya terpaksa terima hakikat terpaksa kehilangan khidmat dua tonggak utama ini dan saya terpaksa memikirkan pemain lain yang layak mengisi posisi tersebut,’’ ujarnya ketika dihubungi semalam.

Ujarnya, beliau terpaksa menerima hakikat dalam beberapa saingan Liga Super nanti tidak dapat menggunakan khidmat Shukor dan Fadzli.

Biarpun begitu kata Dollah, beliau tidak mahu menjadikan alasan tersebut sebagai punca mengapa Selangor tidak boleh beraksi cemerlang.

Ujarnya, beliau akan mencari pemain yang mampu mengisi kekosongan itu agar dapat mengimbangi posisi yang ditinggalkan agar skuad Merah Kuning terus memperoleh kemenangan.

‘‘Saya percaya kesungguhan pemain muda yang lain dapat memikul tanggungjawab untuk memastikan Selangor meraih kemenangan,’’ katanya.

Kemenangan terbaru Selangor ke atas Brunei kata Dollah menunjukkan pemain muda semakin menunjukkan kematangan dan bersedia berdepan pasukan yang lebih berpengalaman.

Ujarnya, persembahan menyakinkan mereka menyakinkan beliau Selangor mampu bersaing dengan pasukan yang lebih berpengalaman dan menggunakan khidmat pemain import.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Negeri Sembilan jurulatih itu berkata, beliau tidak memandang rendah keupayaan juara Liga Super musim lalu itu walaupun mereka bergelut berada di dua tangga terbawah liga.

Apa yang pasti kata jurulatih berasal dari Johor itu, beliau akan menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika menang 2-1 ke atas Brunei Sabtu lalu.

‘‘NS Naza ibarat harimau terluka dan mereka pastinya akan bermain mati-matian untuk mencari kemenangan jika tidak kedudukan mereka akan semakin parah,’’ ujarnya.

Selangor menduduki tangga kedua di belakang pendahulu Perlis apabila memungut enam mata iaitu tiga mata dipisahkan daripada skuad Singa Utara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sHbxdXj6
© Utusan Melayu (M) Bhd