ARKIB : 26/12/2006
KUALA LUMPUR – Jurulatih
Selangor, Dollah Salleh mengakui skuadnya tempang tanpa khidmat dua tonggak
utama– ketua pasukan Muhammad Shukor Adan dan perancang utama, Mohd. Fadzli
Saari yang dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan menghadapi
Piala Asia Julai nanti.
Akur dengan kehendak Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) demi perjuangan penting menebus maruah negara, Dollah
tetap merasakan ketiadaan mereka bakal merubah nasib Selangor selepas ini.
Dua lagi pemain muda Selangor
yang turut dipanggil menjalani latihan di bawah jurulatih Norizan Bakar ialah
pemain muda Safiq Rahim dan penjaga gol, Syed Adney.
Kehadiran Shukor dan Fadzli
kata jurulatih itu menyaksikan Selangor memulakan kempen Liga Super dengan
cemerlang memahatkan dua kemenangan menewaskan Melaka 1-0 dan Brunei DPMM 2-1
tetapi tewas 0-1 kepada Telekom Melaka.
‘‘Saya terpaksa terima hakikat
terpaksa kehilangan khidmat dua tonggak utama ini dan saya terpaksa memikirkan
pemain lain yang layak mengisi posisi tersebut,’’ ujarnya ketika dihubungi
semalam.
Ujarnya, beliau terpaksa
menerima hakikat dalam beberapa saingan Liga Super nanti tidak dapat
menggunakan khidmat Shukor dan Fadzli.
Biarpun begitu kata Dollah,
beliau tidak mahu menjadikan alasan tersebut sebagai punca mengapa Selangor
tidak boleh beraksi cemerlang.
Ujarnya, beliau akan mencari
pemain yang mampu mengisi kekosongan itu agar dapat mengimbangi posisi yang
ditinggalkan agar skuad Merah Kuning terus memperoleh kemenangan.
‘‘Saya percaya kesungguhan
pemain muda yang lain dapat memikul tanggungjawab untuk memastikan Selangor
meraih kemenangan,’’ katanya.
Kemenangan terbaru Selangor ke
atas Brunei kata Dollah menunjukkan pemain muda semakin menunjukkan kematangan
dan bersedia berdepan pasukan yang lebih berpengalaman.
Ujarnya, persembahan
menyakinkan mereka menyakinkan beliau Selangor mampu bersaing dengan pasukan
yang lebih berpengalaman dan menggunakan khidmat pemain import.
Mengulas mengenai pertemuan
dengan Negeri Sembilan jurulatih itu berkata, beliau tidak memandang rendah
keupayaan juara Liga Super musim lalu itu walaupun mereka bergelut berada di dua
tangga terbawah liga.
Apa yang pasti kata jurulatih
berasal dari Johor itu, beliau akan menurunkan kesebelasan utama yang sama
ketika menang 2-1 ke atas Brunei Sabtu lalu.
‘‘NS Naza ibarat harimau
terluka dan mereka pastinya akan bermain mati-matian untuk mencari kemenangan
jika tidak kedudukan mereka akan semakin parah,’’ ujarnya.
Selangor menduduki tangga kedua
di belakang pendahulu Perlis apabila memungut enam mata iaitu tiga mata
dipisahkan daripada skuad Singa Utara.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sHbxdXj6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan