Ahad, 10 Disember 2017

Khairul Anuar sertai skuad Merah Kuning

ARKIB : 12/10/2008
KUALA LUMPUR - Bekas bek tengah kebangsaan, Khairul Anuar Baharom bakal mengepalai barisan pertahanan Selangor bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia musim depan manakala dua pemain Polis serta seorang penyerang Perlis turut disahkan menyarung jersi Merah Kuning.

Khairul atau turut dikenali sebagai Acong yang pernah mewakili Negeri Sembilan, Polis dan Perak, merupakan antara pemain di luar Selangor selain Sanjos Sundawat, Fauzi Baharuddin dan Rudie Ramli yang menyertai skuad naib juara Piala Malaysia dan Piala FA tahun ini.

Khidmat tulang belakang berpengalaman amat ditagih Selangor setelah gagal menambat Nazrulerwan Makmor yang dipinjam dari KL PLUS selain kehilangan Ghani Rahman ke sebuah kelab Liga Perdana dan pemergian Evans Chisulo kerana larangan pemain import oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Rudie yang turut dipinjamkan sebagai penyerang Kuala Muda Naza musim lalu, bagaimanapun pernah bermain untuk Selangor dari 2000 hingga 2004, PKNS (2005) dan TM (2006-7) selain sempat berguru di kelab bahagian bawah Jerman, SV Wehen pada akhir 90-an.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, kehadiran mereka kini mengisi hampir separuh kuota pemain yang kekosongan selepas khidmat ramai tonggak musim lalu tidak disambung seperti Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli, Suffian Ab. Rahman, Fadzli Saari dan Safiq Rahim.

"Kami bakal melengkapkan kuota ini dengan lima lagi pemain daripada beberapa pasukan utara dan tengah Semenanjung khususnya bagi posisi tengah dan penjaga gol," katanya yang menyasarkan dua piala buat Selangor - Piala FA dan Piala Malaysia pada musim baru mulai 3 Januari ini.

Beliau enggan mendedahkan identiti kelima-lima pemain itu kerana mereka masih terikat kontrak dengan pasukan masing-masing sekarang tetapi persetujuan mereka secara hitam putih dijangka dapat diperoleh dalam bulan ini juga.

Sementara itu, sumber Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membayangkan pelantikan K. Devan yang sebelum ini menerajui Kuala Muda Naza, sebagai ketua jurulatih Gergasi Merah dijangka disahkan dalam satu sidang akhbar di Wisma FAS, Kelana Jaya, esok.

Barisan Selangor

Pengurus pasukan: Zakaria Ab. Rahim

Penolong jurulatih: P. Maniam, Azlisham Ibrahim, Rosedy Nadzir

Pemain:Razman Roslan, D. Surendran, P. Gunalan, Asraruddin Putra Omar, Zaiza Zainal, R. Surendren, Amri Yahyah, Nasriq Baharom, Fazilidin Khalid, Safee Sali, Rudie Ramli, S. Sritharan, Fadzirul Zakaria, Fairul Azwan Shahrullai, Fitri Shazwan Raduwan, Fauzan Dzulkifli, Khairul Anuar Baharom, Sanjos Sundawat, Fauzi Baharuddin, Rudie Ramli.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50uLEE9I3
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan