Ahad, 19 Mac 2017

Skuad negara garang - Bola sepak Bawah 18


 

ARKIB : 15/10/2001
PEMAIN negara, Badrul Azam Zamri (kanan) cuba dihalang oleh pemain Sri Lanka, Mohamed Irfan dalam aksi Kumpulan A bola sepak Sekolah-Sekolah Asia di Stadium KLFA, Cheras, semalam. Malaysia menang 4-0. - Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN.

Malaysia...     4 Sri Lanka... 0

Thailand... 7 Brunei... 0

Indonesia... 1 India... 1

Korea Selatan... 1 China... 0

TUAN rumah, Malaysia menghampiri pintu separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Sekolah-Sekolah Asia apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menundukkan Sri Lanka 4-0 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium KLFA, Cheras, semalam, LAPOR A. JAILANI ABDULLAH.

Malaysia bagaimanapun melepaskan banyak peluang keemasan pada babak pertama dan hanya mampu mendahului 1-0 menerusi percubaan cantik Muhd. Sofizal Sokhini di hujung kawasan gol selepas dia memusingkan badan pada minit ke-22.

Permainan memberangsangkan hanya ditunjukkan oleh anak buah Aminuddin Husin hanya selepas babak kedua bermula. Asakan skuad negara membuahkan hasil apabila pemain pertahanan Sri Lanka, Shemal Perera tersepak masuk ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hasil sepakan kencang Khairul Izwan Khalid pada minit ke-46.

Gol kedua itu menyuntik semangat skuad tuan rumah yagn menambah gol ketiga apabila Khairul menanduk masuk sepakan sudut Nik Zulaziz Nawawi pada minit ke-62. Malaysia yang menewaskan Hong Kong 3-1 dalam perlawanan pertamanya kelmarin, menambah gol keempat pada minit ke-65 hasil gerakan cantik pemain berpengalaman, Mohd. Fadzli Shaari yang membuat hantaran lintang di depan pintu gol bagi memudahkan Bobby Gonzales Kaliwon untuk menguis masuk.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, juara bertahan, Thailand menundukkan Brunei 7-0 di Stadium Selayang untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan di atas Malaysia.

Dalam saingan Kumpulan B, Indonesia hanya mampu seri 1-1 dengan India pada perlawanan sebelah petang di Stadium Selayang manakala Korea Selatan menepati ramalan setelah menewaskan China 1-0 dalam satu lagi aksi di Stadium KLFA

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bldRr8ko © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan