ARKIB : 28/03/1998
ASAK... Penjaga gol Selangor, Sani Anuar Kamsani diasak oleh pemain Kuala
Lumpur, Wan Mohd. Huzaimy sewaktu perlawanan Kumpulan C Bola Sepak Piala Nike
bawah 14 tahun di padang Pulapol, Kuala Lumpur, semalam. Selangor tewas 2-0. -
Gambar MOHD. NOOR AMIN.
PAHANG bangkit pada babak kedua dengan menyumbat tiga gol untuk menumpaskan
Kelantan 3-2 sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir Bola Sepak Piala Nike
bawah 14 tahun dalam perlawanan kumpulan A di padang Pulapol, Kuala Lumpur,
semalam, laporJOHARI SHAWAL.
Skuad muda Tok Gajah itu ketinggalan 2-0 pada babak pertama tetapi bangkit
pada babak kedua untuk mara ke suku akhir selepas pendahulu kumpulan, Sabah
tewas dengan jaringan besar 5-0 di tangan Polis. Polis, juara bertahan
kejohanan turut layak ke suku akhir selepas muncul juara kumpulan A.
Kuala Lumpur dan Selangor turut layak ke suku akhir dari Kumpulan C. Kuala
Lumpur muncul juara kumpulan selepas mengalahkan Selangor 2-0.
Empat lagi tempat suku akhir diisi oleh Perlis dan Kedah dari Kumpulan B
dan Terengganu dan Pulau Pinang Kumpulan D.
Perlis, naib juara musim lalu muncul juara kumpulan meskipun tewas 1-2
kepada Melaka pada perlawanan terakhir kumpulan, semalam.
Kedah muncul naib juara selepas mengetepikan Perak.
Terengganu menjuarai kumpulan selepas seri 2-2 dengan Pulau Pinang yang
muncul naib juara.
Dengan keputusan itu, Pahang akan bertemu Kuala Lumpur manakala Polis
menentang Selangor pada perlawanan suku akhir, pagi ini.
Dalam perlawanan suku akhir lain, Perlis bertemu Pulau Pinang manakala
Terengganu menguji Kedah.
Dalam perlawanan semalam, Kelantan yang tidak mempunyai harapan untuk layak
ke suku akhir, meresahkan Pahang apabila mendahului dua gol pada babak pertama
menerusi penyerang M. Azrul Nazuan minit ke-23 dan Khairuzal Azmie tiga minit
kemudian.
Begitupun, Pahang yang mengejutkan Polis 2-0 kelmarin, bangkit pada babak
kedua menerusi jaringan Wan Mohd. Ezani pada minit ke-40 dan Ahmad Abdul Wahid
minit ke-50 sebelum gol kemenangan disumbat oleh pemain berkemahiran tinggi,
Mohamad Fadzli Saari pada minit ke-60.
Sabah yang hanya memerlukan keputusan seri untuk ke suku akhir sebaliknya
dikejutkan dengan jaringan bertalu-talu Polis.
Polis yang amat memerlukan kemenangan tidak memberi ruang langsung kepada
Sabah untuk menggegar gawang mereka sebaliknya jaring Sabah yang kerap digegar.
Gol-gol Polis dijaringkan oleh Mohd. Rasidi Shaari pada minit ke-17, Ahmad
Bastian (19, 45), Wan Mohd. Hanel (47) dan Isman Syariff (66).
29.2.98
Tiada ulasan:
Catat Ulasan