Ahad, 17 Disember 2017

Fadzli, Baddrol diketepikan

ARKIB : 21/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA – Jurulatih negara, B. Sathianathan (gambar) menggugurkan dua lagi pemain, Fadzli Saari dan Baddrol Bakhtiar daripada senarai 18 terakhir bagi menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, malam ini.

Katanya, keputusan menggugurkan pemain tengah KL PLUS dan sayap kanan Kedah itu bukan bererti mereka tidak bagus tetapi hasil ujian kecergasan mendapati kedua-duanya tidak mencapai tahap yang dikehendaki bagi bermain pa

da perlawanan antarabangsa.

“Farizal Marlias pula diletakkan sebagai simpanan jika sebarang kejadian berlaku kepada dua penjaga gol utama kita, Syamsuri Mustafa dan Syed Adney Syed Hussein,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Sathianathan, ujian berkenaan turut mengesan hanya tiga pemain negara yang mencapai tahap cemerlang untuk menyertai perlawanan antarabangsa yang setaraf aksi sulung kelayakan menentang UAE di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

“Saya tidak boleh dedah siapa yang berkenaan tetapi saya tidak akan menjadikan alasan pemain kurang cergas dengan sebarang keputusan perlawanan itu nanti. Saya tahu Liga Malaysia baru bermula dan mungkin ada jurulatih yang tidak mahu pemainnya memuncak terlalu awal.

“Namun, jika pemain mengekalkan disiplin dan mematuhi arahan serta berjuang habis-habisan apatah lagi dengan kelebihan bermain di gelanggang sendiri, saya percaya kami masih mempunyai peluang untuk menang,” ujarnya.

Katanya, UAE diakui mempunyai serba-serbi kelebihan terutama dari segi ranking dunia, tahap persediaan dan kemampuan pemain tetapi ia tidak bererti mereka tidak boleh diatasi.

“Memang pengaruhnya di padang tidak akan setanding ketua pasukan asal, Shukor Adan (digugurkan kerana kecederaan) yang bagi saya umpama jeneral yang sering dihormati rakan sepasukan dan sentiasa konsisten serta berani merebut bola.

“Dalam posisi lama Shukor, saya harapkan Indra Putra Mahayuddin mampu mengulangi aksi cemerlang seperti ketika Piala Suzuki AFF, bulan lalu dan dibantu oleh Hardi dengan kepintarannya dalam mengemudikan bahagian tengah bertahan itu,” katanya.

Sementara itu, Hardi yang diberi kepercayaan di posisi baru tersebut, mengakui rentak pasukan bakal berbeza tanpa Shukor tetapi yakin dia mampu menjayakan tugas itu seperti mana ketika beraksi dengan Selangor dalam Liga Super, baru-baru ini.

“Saya dan Indra akan menilai keadaan perlawanan dengan UAE untuk bertindak sama ada secara bertahan atau menyerang dari situ. Memang lawan mempunyai pemain yang bersaiz lebih besar tetapi bagi saya, ia bukan masalah besar.

“Kami turut mengintai dan berjanji untuk memanfaatkan sekiranya muncul sebarang peluang yang boleh menghasilkan gol menerusi gerakan bola mati (sepakan bebas atau sepakan sudut),” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51WLz5rtO

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 16 Disember 2017

Ramai senior boleh jadi kapten

ARKIB : 17/01/2009
KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad negara, B. Sathianathan memiliki ramai pemain senior yang boleh diharapkan sebagai ketua pasukan baru ekoran masalah kecederaan lutut yang melanda penyandangnya, Shukor Adan menjelang menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Rabu ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Norhafiz Zamani Misbah, Hairuddin Omar, Nizaruddin Yusof, Kaironnisam Sahabudin Hussain dan Fadzli Saari merupakan antara calon kalangan 25 pelatih skuad negara yang berlegar di fikirannya bagi menghadapi perlawanan sulung bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu Rabu ini.

"Saya tidak bimbang tanpa Shukor yang sukar pulih sebelum perlawanan itu. Saya cukup mengenali ramai pemain senior yang berkaliber untuk menggantikannya sebagai ketua pasukan sejak menjadi penolong jurulatih negara lagi.

Norhafiz pernah mengetuai skuad negara menentang New Zealand dalam perlawanan persahabatan, tiga tahun lalu sebelum diambil alih oleh Kaironnisam ketika Kejohanan AFF 2007 yang turut sempat menyarung semula lilitan lengan keramat ketika menentang Afghanistan dalam Pestabola Merdeka, Oktober lalu.

Shukor yang tercedera ketika mewakili Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super musim 2009, menjadi orang kepercayaan Sathianathan sejak Pestabola Merdeka 2007 sehingga Piala Suzuki AFF di Phuket, bulan lalu yang menyaksikan Malaysia gagal ke separuh akhir setelah dikalahkan Vietnam 3-2 dan Thailand 3-0.

Semalam satu ujian lagi kecergasan buat skuad negara dijalankan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil bagi memastikan mereka layak bermain dalam perlawanan antarabangsa, khususnya menentang UAE yang berada di ranking ke-114 dunia dan dibimbing oleh jurulatih Perancis, Dominique Bathenay.

Sathianathan bagaimanapun agak bimbang dengan persediaan lima hari anak buahnya yang turut terpaksa diteruskan tanpa sebarang perlawanan persahabatan bagi menguji sekurang-kurangnya kesebelasan terbaik negara (ke-158 dunia) sebelum berdepan UAE.

"Mungkin salah satu pasukan Liga Super boleh dijadikan lawan persahabatan tetapi saya rasa kurang sesuai bagi skuad negara ketika ini," katanya, membandingkan UAE yang baru beraksi dalam Piala Teluk di Oman dengan menentang Arab Saudi, Qatar dan Yemen malah akan menghadapi pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2010, bulan depan.

Malaysia tewas 3-1 kepada UAE dalam pertemuan terakhir mereka ketika satu persahabatan di Stadium Petaling Jaya menjelang Piala Asia 2007 dengan gol tunggalnya dijaringkan oleh Akmal Rizal Rakhli.

Sementara itu, skuad negara turut berdepan dengan satu lagi masalah kekurangan pilihan penjaga gol apabila Syed Adney Syed Hussein yang sempat beraksi satu perlawanan menentang Thailand di Phuket, dikecualikan daripada ujian kecergasan dan sesi latihan kerana kecederaan atas tumitnya.

Kini Sathianathan yang mengetepikan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias ekoran prestasinya yang menurun, cuma memiliki Farizal Marlias dan Syamsuri Mustafa.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51U5ZVrNW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 Disember 2017

Khairul Anuar sertai skuad Merah Kuning

ARKIB : 12/10/2008
KUALA LUMPUR - Bekas bek tengah kebangsaan, Khairul Anuar Baharom bakal mengepalai barisan pertahanan Selangor bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia musim depan manakala dua pemain Polis serta seorang penyerang Perlis turut disahkan menyarung jersi Merah Kuning.

Khairul atau turut dikenali sebagai Acong yang pernah mewakili Negeri Sembilan, Polis dan Perak, merupakan antara pemain di luar Selangor selain Sanjos Sundawat, Fauzi Baharuddin dan Rudie Ramli yang menyertai skuad naib juara Piala Malaysia dan Piala FA tahun ini.

Khidmat tulang belakang berpengalaman amat ditagih Selangor setelah gagal menambat Nazrulerwan Makmor yang dipinjam dari KL PLUS selain kehilangan Ghani Rahman ke sebuah kelab Liga Perdana dan pemergian Evans Chisulo kerana larangan pemain import oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Rudie yang turut dipinjamkan sebagai penyerang Kuala Muda Naza musim lalu, bagaimanapun pernah bermain untuk Selangor dari 2000 hingga 2004, PKNS (2005) dan TM (2006-7) selain sempat berguru di kelab bahagian bawah Jerman, SV Wehen pada akhir 90-an.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, kehadiran mereka kini mengisi hampir separuh kuota pemain yang kekosongan selepas khidmat ramai tonggak musim lalu tidak disambung seperti Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli, Suffian Ab. Rahman, Fadzli Saari dan Safiq Rahim.

"Kami bakal melengkapkan kuota ini dengan lima lagi pemain daripada beberapa pasukan utara dan tengah Semenanjung khususnya bagi posisi tengah dan penjaga gol," katanya yang menyasarkan dua piala buat Selangor - Piala FA dan Piala Malaysia pada musim baru mulai 3 Januari ini.

Beliau enggan mendedahkan identiti kelima-lima pemain itu kerana mereka masih terikat kontrak dengan pasukan masing-masing sekarang tetapi persetujuan mereka secara hitam putih dijangka dapat diperoleh dalam bulan ini juga.

Sementara itu, sumber Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membayangkan pelantikan K. Devan yang sebelum ini menerajui Kuala Muda Naza, sebagai ketua jurulatih Gergasi Merah dijangka disahkan dalam satu sidang akhbar di Wisma FAS, Kelana Jaya, esok.

Barisan Selangor

Pengurus pasukan: Zakaria Ab. Rahim

Penolong jurulatih: P. Maniam, Azlisham Ibrahim, Rosedy Nadzir

Pemain:Razman Roslan, D. Surendran, P. Gunalan, Asraruddin Putra Omar, Zaiza Zainal, R. Surendren, Amri Yahyah, Nasriq Baharom, Fazilidin Khalid, Safee Sali, Rudie Ramli, S. Sritharan, Fadzirul Zakaria, Fairul Azwan Shahrullai, Fitri Shazwan Raduwan, Fauzan Dzulkifli, Khairul Anuar Baharom, Sanjos Sundawat, Fauzi Baharuddin, Rudie Ramli.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50uLEE9I3
© Utusan Melayu (M) Bhd