Rabu, 29 Mac 2017

Kecederaan resahkan Rajagopal

ARKIB : 08/03/2003
MASALAH kecederaan terus menghantui persiapan pasukan bola sepak bawah 21 tahun Malaysia menjelang pertemuan menentang Brazil pada kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Malaysia FAM-ProEvents 2003 yang akan berlangsung pada 13 hingga 16 Mac ini.

Terbaru, pemain tengah, Mohamed Fadzli Shaari mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan dengan kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor, malam kelmarin.

Keadaan itu jelas memeningkan jurulatih, K. Rajagopal yang hampir pasti tidak dapat mengggunakan khidmat dua lagi pemain, Harizal Izwan dan Mohamed Ghazali Jamil yang masih cedera bagi pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Mac ini.

``Fadzli cedera selepas perlawanan persahabatan semalam (kelmarin). Kecederaannya tidak begitu serius dan dia mungkin terpaksa berehat sekurang-kurangnya empat hari,'' kata Rajagopal ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Jurulatih itu berharap Fadzli, salah seorang pemain berpengalaman dalam skuad itu selain Rudie Ramlie, dapat kembali beraksi bagi membimbing pemain-pemain lain yang masih cetek pengalaman.

Dengan hanya lima hari sebelum perlawanan tersebut, Rajagopal tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyenaraikan pemain-pemain lain menggantikan mereka yang cedera dan terpaksa menjana strategi menggunakan barisan sedia ada.

Jurulatih itu juga tidak mahu memberi tekanan kepada pemain-pemain muda bimbingannya atau mengharap mereka mencipta keajaiban pada pertemuan dengan Brazil nanti
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ciG89CE6

SUMBER© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan