Ahad, 19 Mac 2017

Bola Sepak Sekolah Asia: Skuad negara hilang dua tonggak

ARKIB : 12/10/2001
STRATEGI skuad negara dalam menghadapi Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Sekolah-Sekolah Asia mengalami rombakan akibat kehilangan dua pemain teraju, lapor A. JAILANI ABDULLAH.

Dua daripada pemain tonggak itu, Norisham Hassan dan Tengku Alias Ibrahim sepatutnya beraksi di bahagian tengah tetapi terpaksa dikecualikan setelah ditimpa kecederaan di kaki ketika menjalani latihan baru-baru ini.

``Ketiadaan mereka, terutama Norisham dan Tengku Alias menjejaskan rencana pasukan kerana sebelum ini merekalah pemain yang diharap untuk membimbing pasukan,'' kata jurulatih pasukan, Paiza Md. Dom, semalam.

``Ketiadaan kedua-dua pemain itu amat dirasai kerana ia berlaku pada saat-saat akhir,'' katanya lagi.

Selain kedua-dua pemain dari Terengganu itu, dua pemain lain yang digugurkan dari senarai 18 pemain ke kejohanan itu ialah penyerang, Mohd. Saiful Adli Mohd dan Mohd. Al Hafiz Hamzah juga akibat kecederaan.

Kejohanan itu akan berlangsung dari 13 hingga 20 Oktober di Kuala Lumpur. Kehilangan dua pemain berpengalaman itu memaksa Paiza memanggil khidmat pemain Bawah 16 tahun, Ahmad Syamil Shukor.

``Saya menunggu saat-saat akhir untuk membuat pemilihan terakhir kerana mengharapkan mereka dapat sembuh tetapi hampa,'' ujar beliau kesal.

Paiza turut mengembalikan Mohamed Fadzli Shaari ke posisi midfield selepas sebelum ini meletakkan pemain yang pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen itu di bahagian serangan.

``Fadzli akan bertindak sebagai `attacking midfielder' sementara Ahmad Syamil sebagai `defensive midfielder','' jelas beliau. ``Bahagian serangan pula akan diisi oleh Khairul Izuan Khalid dan Amir Shahrin Abdul Mubin.''

Namun, kebimbangan Paiza mendapat sedikit penawar apabila penjaga gol utama, Kam Soon Hong sudah pulih dari kecederaan buku lali yang telah lama dihidapinya.

Soon Hong ialah penjaga gol yang membantu Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan di Bangkok tahun lepas menyebabkan pengalamannya amat berharga kali ini.

Kelmarin, skuad itu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Simpanan Kuala Lumpur yang berkeputusan seri 1-1.

Menurut Paiza beliau mencuba corak bertahan pada perlawanan itu sebagai persediaan menghadapi Thailand, lawan paling kuat Malaysia dalam kumpulan A.

Selain dua pasukan itu, kumpulan A turut diisi oleh pasukan kurang dihormati iaitu, Sri Lanka, Hong Kong dan Brunei.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4blVDXQTE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan