Ahad, 19 Mac 2017

Skuad negara dilanda kecederaan

ARKIB : 09/10/2001
MALAYSIA berada dalam keadaan sukar menjelang Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia Bawah 18 yang bermula 13 Oktober ini.

Ketika perlawanan sulung Malaysia menentang Hong Kong hanya tinggal lima hari sahaja lagi, skuad negara menerima tamparan berat apabila empat pemain utamanya mengalami kecederaan dalam fasa terakhir latihan.

Mereka ialah pemain tengah, Tengku Alias Ibrahim dan Norisham Hassan dari Terengganu, Amir Shahrim Abd. Mubin dan penjaga gol, Kam Soon Hong.

``Semuanya cedera hari ini,'' kata jurulatih, Paiza Md. Dom ketika perlawanan persahabatan antara anak buahnya dengan skuad Bawah 16 tahun negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Keadaan itu, katanya amat membimbangkan dirinya kerana keempat-empat pemain itu adalah yang paling berpengalaman sekali gus diletakkan harapan untuk membimbing rakan-rakan mereka.

Katanya, percaturan beliau sekarang ialah mengubah posisi pemain tengah, Mohamed Fadzli Shaari, yang pernah bermain dengan kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen ke bahagian serangan untuk mengukuhkan bahagian itu akibat kecederaan Amir Shahrim.

Tengku Alias, pemain tengah skuad Liga-M Terengganu, cedera kaki kanan. Norisham pula cedera ketika perlawanan persahabatan semalam.

Penyerang, Amir Shahrim merupakan penjaring terbanyak ketika beraksi bersama skuad liga simpanan Selangor tahun lepas.

Soon Hong dari Johor adalah penjaga gol berpengalaman yang pernah beraksi dalam kejohanan yang sama ketika di Bangkok tahun lepas.

Kata Paiza, keadaan itu membuatkan beliau terpaksa menangguhkan pemilihan akhir pemain yang sepatutnya dibuat semalam.

Skuad negara yang meletakkan sasaran untuk muncul juara, mula menjalani latihan pusat sejak 24 Ogos lepas. Mereka telah mengadakan sebanyak 12 perlawanan persahabatan termasuk menumpaskan skuad Bawah 16 5-1 semalam.

Skuad negara berada dalam kumpulan B kejohanan selama lapan hari itu, bersama-sama juara bertahan, Thailand, Sri Lanka, Hong Kong dan Brunei.

Kumpulan B pula terdiri dari Indonesia, Korea Selatan, China, India dan Vietnam.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4blKJ3O4B

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan