Jumaat, 17 Mac 2017

Wehen minat tiga pemain kita

ARKIB : 09/05/2001
SV Wehen, kelab bola sepak separuh profesional Jerman berminat mengekalkan Rudie Ramli dan Mohd Fadzli Shaari untuk satu musim lagi.

Bekas pengarah remaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Holger Obermann berkata beliau dimaklumkan melalui telefon oleh pegawai Wehen bahawa penyokong pasukan itu gembira dengan sumbangan kedua-dua pemain itu dalam kemenangan ke atas TSV Allendort dalam perlawanan divisyen tiga semi-pro Liga Landes.

Dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam, Obermann berkata, TSV Allendort yang menjadi tuan rumah perlawanan itu mendahului 1-0 sehingga minit ke-70 apabila Rudie menjaringkan gol penyamaan.

Rudie menambah gol kedua hasil gandingannya dengan Mohd. Fadzli untuk membawa pasukannya menewaskan pasukan pendahulu liga TSV Allendort itu 2-1.

Wehen bagaimanapun mungkin gagal bersaing bagi menjuarai liga itu kerana kelebihan gol pasukan lawan, kata Obermann.

Rudie dari Selangor dan Mohd. Fadzli dari Pahang sedang mengikuti latihan sambil bermain dengan Wehen.

Obermaan berkata presiden Wehen, Heinz Han-Kramer telah memaklumkan mengenai minat kelab itu mengekalkan kedua-dua pemain itu tetapi ia menyerahkan kepada pemain terlibat untuk menentukan masa depan mereka.

Kedua-dua pemain itu akan kembali ke Malaysia bulan depan kerana liga itu akan berehat bagi musim panas. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bb0sV0ih

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan