Rabu, 29 Mac 2017

Tewas selepas mencuba


 

ARKIB : 17/03/2003
PEMAIN MALAYSIA, Mohd. Safee Mohd. Sali (kiri) dirempuh pemain Korea Selatan, Lee Jong Min dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 2-0.

SKUAD negara membuktikan kemampuan untuk menyaingi kehebatan Korea Selatan tetapi terpaksa akur dengan kelebihan taktikal pasukan lawan apabila tumpas 2-0 pada perlawanan merebut tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Belia Antarabangsa FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malah, dua gol kemenangan Korea Selatan oleh Jung Jo-gook dan Kim Dong-hwan pada babak kedua perlawanan hanya mampu dihasilkan selepas kedua-duanya bekerja keras untuk melepasi benteng Malaysia yang sentiasa membayangi penyerang lawan.

Malaysia juga nyaris memperoleh dua gol tetapi kecetekan pengalaman kurang keyakinan diri menyebabkan pemain terpaksa berputih mata.

Korea Selatan, pasukan yang mengadakan persiapan menjelang Piala Dunia Belia di UAE, jelas memiliki kelebihan dari segi fizikal dengan larian penuh bertenaga.

Namun, mereka hanya mampu menggegarkan jaring gol skuad binbingan jurulatih K. Rajagopal pada minit ke-42 apabila Jo-gook menanduk masuk hantaran silang sayap kiri, Lee Jong-min hanya untuk berasa kecewa apabila dia didapati berada dalam keadaan offside.

Dua minit selepas itu, pertahanan Korea Selatan pula cemas apabila MALAYSIA melancarkan serangan pantas.

Pemain tengah, Tengku Alias Tengku Ibrahim menerima bola hantaran jauh sebelum melorongkannya kepada R. Surendran yang kemudian menewaskan seorang pertahanan lawan tetapi percubaannya tersasar sedikit di sebelah kanan gawang lawan.

Malaysia kemudian nyaris mendapat gol pada minit ke-79 tetapi, sepakan percuma Mat Saiful Mohamad dari jarak kira-kira 20 meter hanya terkena palang.

Dua minit sebelum itu, Korea Selatan mendapat gol semangat apabila Jo-gook menanduk masuk hantaran lintang Kim Young-chul.

Perlawanan yang kemudiannya agak seimbang bagaimanapun terus menyebelahi Korea Selatan, juara Kejohanan Belia Asia tahun lepas, apabila mereka memperoleh gol kedua ketika permainan berusia 88 minit, kali ini menerusi tandukan Dong-hwan hasil sepakan sudut Jong-min.

Jurulatih skuad negara, Rajagopal jelas berpuas hati dengan persembahan anak didiknya terutama Mohd. Fadzli.

``Mereka menunjukkan mutu permainan yang bagus. Mereka tidak gentar menghadapi skuad Korea Selatan yang memiliki reputasi lebih baik di peringkat antarabangsa,'' kata Rajagopal selepas perlawanan, sambil mengingatkan bahawa Korea Selatan berada pada ranking kedua Asia manakala skuad negara di tangga ke-18.

``Fadzli juga menunjukkan bahawa dia boleh pergi jauh dan mempunyai harapan untuk diserapkan ke dalam skuad sukan SEA hujung tahun ini tetapi ia bergantung kepada perancangan,'' jelas bekas jurulatih Kelantan itu.

Namun, Fadzli terpaksa digantikan dengan Mohd. Safee Mohd. Sali pertengahan babak kedua setelah mengalami kecederaan.

Rajagopal turut memuji Yosri Derma Raju dan M. Ravinthiran yang dianggapnya beraksi dengan cemerlang sepanjang kejohanan itu.

Jurulatih Korea Selatan, Park Sung-hwa turut mengakui kemampuan yang dimiliki oleh skuad negara.

``Mereka mempunyai kemahiran mengawal bola seperti pemain-pemain Brazil dan telah memberikan saingan kuat kepada kami.

``Bagaimanapun, kami juga tidak dapat menurunkan pasukan terkuat kerana empat pemain tonggak kami cedera,'' jelasnya.

MALAYSIA - Mohd. Helmi Eliza Elias, M. Ravinthiran, Yosri Derma Raju, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Mohd. Norhisham Hassan, R. Surendran, K. Linggam, Noor Zaidi Rohmat (Mohd. Firdaus Mokhtar), Mat Saiful Mohamad, Rudie Ramli, Mohd. Fadzli Saari.

KOREA SELATAN - Kim Young-kwang, Oh Beo-seok, Kim Chi-woo, Kim Chi-gon (Yeo Hyo-jin), Park Ju-sung, Kim Jin-kyu, Lee Jong-min, Jung Jo-gook, Lee Gil-hoon (Han Jae-woong), Choo Sung-yoon (Kim Young-chul), Kim Dong-hwan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cjBpNbJe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan