ARKIB : 26/08/1999
FADZLI Saari (kiri), Holger Obermann dan Rudie Ramli
menunjukkan isyarat bagus dan trofi penghargaan sekembalinya daripada menjalani
latihan pendedahan lima minggu di Jerman, dalam sidang media di Kelana Jaya,
semalam.
MASA depan bola sepak Malaysia bakal kembali cerah
sekembalinya dua pemain remaja, Rudie Ramli dan Fadzli Saari daripada latihan
pendedahan selama lima minggu di Jerman, semalam.
Penasihat Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM), Holger Obermann berkata, Rudie dan Fadzli menjanjikan harapan baru buat
bola sepak negara di sebalik prestasi buruk skuad negara dan Olimpik 2000
kebelakangan ini.
Rudie menimba pengalaman di kelab gergasi Bundesliga
Jerman, Bayern Munich manakala Fadzli diletakkan di bawah kelab bahagian tiga,
SV Wehen dekat Frankfurt.
Ini merupakan penghantaran pemain remaja Malaysia kali
kedua atas usaha Obermann selepas Akmal Rizal Rakhili dan Rafiz Abu Bakar sejak
empat tahun lalu.
Rudie dari Selangor bagaimanapun tidak dapat
menunjukkan bakat sepenuhnya akibat masih terasa kesan kecederaan lutut yang
baru dibedah enam bulan lalu.
Namun Fadzli, pemain berbakat Pahang, mulai memikat
kelab separuh profesional Wehen yang turut membuat tawaran kepadanya untuk
melanjutkan tempoh latihan di sana.
''Latihan di Jerman memberikan petanda baru bahawa
pemain remaja Malaysia menjanjikan harapan cerah apabila mengambil alih
tanggungjawab dalam pasukan kebangsaan,'' kata Obermann lagi.
Bagaimanapun katanya, Rudie dan Fadzli belum boleh
diberikan tawaran menandatangani kontrak dengan sebarang kelab di Jerman selagi
tidak memenuhi keperluan pendidikan di sana.
''Tidak mudah bagi sebarang kelab di Jerman membuat
tawaran sedemikian. Pemain muda seperti mereka perlukan pendidikan akademik
terlebih dulu sebelum diberi peluang menjadi pemain profesional sepenuhnya.
''Di Jerman, pendidikan masih menjadi keutamaan, lebih
daripada segala-galanya termasuk bola sepak,'' katanya pada sidang media
menyambut kepulangan Rudie dan Fadzli di Yayasan Persatuan Bola Sepak Selangor
(FAS), Kelana Jaya, semalam.
Katanya lagi, Jerman amat berwaspada tentang itu
kerana mahukan pemain mampu menyediakan diri dengan sesuatu ilmu untuk
digunakan sebaik sahaja kerjaya bola sepak berada di penghujung.
Penghantaran Rudie dan Fadzli turut mendapat sokongan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) malah Penolong Setiausaha Agungnya turut
berharap mereka mampu memanfaatkan pengalaman yang ditimba itu untuk bola sepak
negara.
''Saya puji daya usaha Pahang dan Selangor ini yang
sanggup mengeluarkan belanja untuk mengetengahkan bakat baru di Jerman.
''Begitupun, kita ada banyak masa untuk membimbing
mereka dan tidak perlu terburu-buru mengikat mereka dengan kontrak bersama
pasukan negeri dalam Liga Perdana,'' kata Yap lagi.
Dalam pada itu, Rudie berkata, dia masih berminat untuk
menyambung sesi pendedahan di Jerman pada masa akan datang jika beroleh peluang
lagi.
Bagaimanapun, Fadzli lebih cenderung untuk kembali
menabur bakti di Pahang sekiranya diberi pilihan untuk meneruskan kerjaya bola
sepaknya.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan