ARKIB : 28/09/1999
PELUANG keemasan sekali seumur hidup terbentang luas
untuk pemain berbakat Pahang, Fadzli Shaari apabila kelab bahagian tiga Jerman,
SV Wehen bersetuju menawarkannya satu pakej istimewa bagi menimba pendedahan
profesional di sana, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Penasihat Teknikal Jabatan Belia Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Holger Obermann yang mengusahakan kedatangan Fadzli sebelum
ini, baru saja menghantar dua surat tawaran Wehen itu kepada Tengku Abdullah
Sultan Ahmad Shah.
Surat kepada Timbalan Presiden FAM itu menyatakan
jaminan Wehen untuk menempatkan Fadzli berlatih dan belajar dengan Sekolah
Perniagaan Brita yang juga merupakan syarikat penapis air terkenal Jerman.
Fadzli yang kini bersama Akademi Bola Sepak Pahang,
turut mendapat reaksi menggalakkan dari Wehen sepanjang empat minggu latihan
pendedahan terdahulunya di sana.
Malah bertolak dari situlah, Wehen turut sanggup
menawarkan kontrak dua tahun kepada Fadzli dengan gaji bulanan sebanyak RM2,000
termasuk bonus perlawanan di samping kemudahan penginapan dan penerbangan
percuma.
Jika Fadzli, 16, bersetuju, dia dijangka berlepas ke
Wehen pada awal tahun depan sebaik sahaja berakhirnya cuti musim sejuk di
Jerman.
Namun sebelum itu dia diperlukan untuk menimba latihan
giat mempelajari bahasa Jerman di Institut Goethe, Kuala Lumpur dengan tajaan
sepenuhnya kerajaan Jerman.
Obermann yang mengawasi prestasi Fadzli sejak 1995,
sudahpun bertemu dengan Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak
Pahang (PBNP) dan pegawai akademi negeri itu untuk mendapatkan pelepasan
Fadzli.
Fadzli sekembalinya ke tanah air selepas ujian
pendedahan, bulan lalu, pernah berkata, dia lebih suka kekal bersama Pahang
daripada kembali ke Jerman hanya atas alasan berasa sunyi berjauhan daripada
keluarga dan rakan.
Dia ke Wehen sejak akhir Julai lalu bersama Rudie
Ramli dari Selangor yang turut menimba pendedahan dengan kelab gergasi Jerman,
Bayern Munich.
Pada 1997, Fadzli terpilih mewakili skuad bawah 16
tahun Malaysia pada Piala Nike Antarabangsa.
''Fadzli baru pulang ketika disoal media tentang
kerjaya bola sepaknya. Ketika itu dia belum pasti apakah dia mahu kekal di
Pahang atau menyambung pendedahan di Jerman.
''Ia merupakan satu proses yang biasa bagi seorang
remaja apabila berasa kesunyian di Jerman apatah lagi kurang fasih berbahasa
Inggeris,'' kata Obermann.
Obermann turut yakin, ada keluarga Melayu atau Islam
lain yang akan membantunya mengurangkan rasa sunyi bila berjauhan daripada
keluarga.
''Apa pun, saya pasti Fadzli akan pulang dengan
pengetahuan baru tentang bola sepak moden untuk dicurahkan pula kepada negeri
dan pasukan kebangsaan, sedikit masa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan