ARKIB : 22/07/1999
RUDIE Ramli (kiri) dan Mohd. Fadzli Shaari (kanan)
yang diberi peluang menimba ilmu bola sepak di Jerman bersama kelab Bayern
Munich dan SV Wehen, bergambar bersama Holger Obermann pada sidang akhbar di
Kuala Lumpur, semalam.
PENYERANG muda Selangor, Rudie Ramli dan pemain tengah
Pahang, Mohd. Fadzli Shaari bakal menimba ilmu paling berharga dalam bola sepak
apabila dipilih menyertai latihan dengan kelab terkemuka Jerman, Bayern Munich
dan SV Wehen yang terkenal dengan program remaja yang cemerlang, lapor JOHARI
SHAWAL.
Rudie, 17, pemain termuda skuad Liga Perdana Selangor
akan berlatih bersama kelab juara Bundesliga, Bayern Munich manakala Fadzli,
16, yang beraksi dengan pasukan bawah 19 tahun Pahang, bakal bersama SV Wehen,
kelab divisyen tiga liga Jerman selama kira-kira enam minggu.
Penyertaan kedua-dua pemain remaja itu dikendalikan
oleh Penasihat Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Holger Obermann
dan bahagian sukan Kementerian Pendidikan.
Rudie, pemain remaja terbaik tahun lalu, akan menyertai
latihan bersama skuad A-Juniors Bayern Munich selain berpeluang menyaksikan
perlawanan-perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan senior kelab itu.
Dia juga berpeluang bertemu Presiden Bayern yang juga
bekas pemain antarabangsa Jerman, Franz Beckenbauer selain Karl-Heinz
Rummenigge, Gerd Muller dan Sepp Maier.
Rudie akan tinggal bersama bekas pemain kebangsaan,
Lim Teong Kim, yang kembali ke Munich selepas setahun menabur khidmat dengan
FAM.
Manakala Fadzli, pemain remaja terbaik 1999, akan
menyertai pasukan semi-profesional, SV Weven.
Penyertaan Fadzli di Weven hanya sebagai latihan ujian
tetapi pemain tengah itu berpeluang diserap dalam kelab itu selama setahun jika
berjaya.
Obermann pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam
berkata, penyertaan dua pemain itu diharap dapat memberikan pendedahan dan
pengalaman bermakna bagi kedua-dua pemain itu.
''Walaupun tempoh latihan yang diterima begitu pendek,
sekurang-kurangnya ia dapat mengubah visi dan kefahaman pemain itu tentang bola
sepak moden,'' ujar Obermann.
Katanya, kedua-dua pemain ini dipilih berdasarkan
persembahan cemerlang ketika beraksi bersama pasukan masing-masing.
Sebelum ini, bekas penyerang Olimpik 2000 dari Kedah,
Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Rafiz Abu Bakar diberi peluang berlatih bersama kelab
itu tahun lepas juga atas kendalian Obermann dan telah membuktikan ilmu yang
ditimba di sana tidak sia-sia.
''Kita harap dapat melahirkan beberapa lagi pemain
yang mampu mengubah senario bola sepak negara ini satu ketika nanti,'' tambah
Obermann.
Dua pemain itu yang turut hadir pada sidang akhbar
semalam berkata, mereka gembira diberi peluang besar seumpama itu dan berjanji
tidak akan mensia-siakannya.
''Saya harap pengalaman di sana nanti dapat dijadikan
batu loncatan untuk saya meningkatkan permainan,'' kata Rudie.
Manakala Fadzli berkata, inilah peluang terbaik
baginya untuk meningkatkan diri selain memahami corak sebenar bola sepak moden.
Rudie dan Fadzli pernah bersama pasukan kebangsaan
bawah 14 tahun yang dikendali Obermann untuk Kejohanan Piala Nike Asia Pasifik.
Rudie bersama pasukan yang muncul naib juara pada 1996
manakala Fadzli bersama pasukan yang menjuarai kejohanan dua tahun kemudian.
Kedua-dua pemain itu berlepas ke Jerman malam tadi
bersama Obermann.