Rabu, 15 Mac 2017

Rudie, Fadzli dapat pujian



ARKIB : 11/02/2001
PEMAIN bola sepak remaja negara yang sedang meningkat naik, Rudie Ramli dan Mohd. Fadzli Shaari mendapat banyak pujian di Jerman.

Dua hari selepas tiba di negara itu, kedua-dua pemain muda Malaysia itu telah memberikan persembahan membanggakan dengan pasukan semi-pro SV Wehen dan mendapat banyak pujian daripada rakan sepasukan, jurulatih dan pegawai pasukan itu selepas beraksi selama 90 minit menentang pasukan Germania Wiesbaden.

SV Wehen menewaskan Germania Wiesbaden 6-0 dalam perlawanan liga divisyen tiga Jerman dengan Rudie menjaringkan dua gol. Hasilnya kedua-dua pemain mendapat bonus kemenangan pertama.

Jawatankuasa Jabatan Antarabansga Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Jerman, G. Kempler yang menghubungi Bernama di Kuala Lumpur semalam berkata, persembahan kedua-dua pemain itu boleh disifatkan sebagai cemerlang kerana perlawanan itu dilangsungkan dalam keadaan padang licin dengan salji setebal lima sentimeter.

Beliau berkata, Holger Obermann yang bertanggungjawab membawa kedua-dua pemain itu bermain dengan SV Wehen adalah orang paling gembira selepas perlawanan itu.

``Penglibatan kedua-dua pemain dalam pasukan Olimpik Bawah 23 Malaysia itu telah banyak memberi pendedahan kepada mereka untuk meningkat lebih tinggi di sini,'' kata beliau.

Malah jurulatih pasukan, George Menger puas hati dengan persembahan mereka, kata Kempler.

Jurulatih itu berkata, kedua-dua pemain perlu belajar lebih banyak, terutama apabila berhadapan satu sama satu dengan pemain lawan.

Rudie, 19, dari Selangor dan Fadzli, 18, dari Pahang menandatangani kontrak sebagai pemain separuh profesional dengan SV Wehen pada 22 Januari dengan kontrak bermula 1 Februari hingga 30 Jun.- Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bOHsvpUq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan