Khamis, 8 Jun 2017

Gol Fadzli pastikan gangsa


ARKIB : 05/12/2005

BACOLOD CITY - Ketua pasukan, Fadzli Shaari memastikan pingat gangsa bola sepak kekal bersama Malaysia menerusi jaringan tunggalnya dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dengan menewaskan Indonesia 1-0 pada Sukan SEA ke-23 di Filipina, semalam.

Tolakannya pada minit ke-78 di Stadium Panaad itu cuma perlahan tetapi sudah memadai untuk menembusi gawang lawan yang dikawal oleh Samsidar yang cuba meluru dan menerpa untuk menafikannya.

Jaringan Malaysia, yang menghampakan anak didik Peter Withe itu berpunca daripada gerakan satu sama satu di antara pemain Pahang itu dengan Azlan Ismail.

Dengan kemenangan ini, Malaysia yang meraih gangsa pada temasya yang sama di Vietnam 2003 kini memenuhi sasaran pengurus pasukan, Datuk Anifah Aman sebelum ke Filipina yang mahukan salah satu pingat biarpun tidak menamakan warnanya.

Malaysia menurunkan Saiful Amar Sudar, yang mengawal pintu gol sementara benteng pertahanan dibarisi oleh Ahmad Azlan Zainal, V. Thirumurugan, Mat Saiful Mohamad, S. Sathiakumaran dengan Azi Shahril Azmi, Amir Shahreen Mubin, R. Surendran dan Fadzli di bahagian tengah.

Penjaring terbanyak Malaysia, Rudie Ramli yang menghasilkan empat gol sepanjang temasya ini, digandingkan dengan Azlan dalam perlawanan ini tetapi kedua-duanya dikeluarkan oleh ketua jurulatih, Norizan Bakar untuk digantikan dengan K. Linggam dan Zairo Anuar Zalani selain Harizul Izuan Rani masuk mengambil alih posisi Azi Shahril.

Sebelum ini, Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan A dengan mengumpul enam mata selepas membelasah Kemboja 5-0, kalah 1-2 kepada Thailand dan menewaskan tuan rumah 4-2 sebelum ditundukkan oleh Vietnam 1-2 pada separuh akhir, Jumaat lalu.

FAM ketika itu menganggap hanya dengan emas di peringkat Asia Tenggara ini, barulah skuad yang turut dibentuk untuk menghadapi Piala Asia 2007 ini mampu mencongak peluang dan sasaran untuk mara ke pusingan kedua kejohanan berprestij benua ini.

Malah, anak didik Norizan terpaksa ke Sukan SEA dengan pembiayaan sendiri FAM kerana cuma disenarai di bawah Kategori B dan masih tidak dapat menuntutnya semula daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang hanya meletakkan syarat mereka mesti menang sekurang-kurangnya perak.

Sementara itu, Thailand mempertahankan kejuaraan buat kali ketujuh berturut-turut apabila menewaskan Vietnam 3-0 pada perlawanan akhir.

Theratep Winothi muncul wira Thailand apabila mencipta hatrik pada minit ke-43, ke-53 dan ke-82 untuk mengekalkan kejuaraan sejak Sukan SEA 189 di Kuala Lumpur. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4jP2X84zc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan