Sabtu, 10 Jun 2017

Indra, Fadzli dalam senarai



ARKIB : 21/01/2006

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

PETALING JAYA - Sepuluh pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA ke-23 di Filipina, bulan lalu dipanggil semula menjalani latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi New Zealand dalam dua perlawanan persahabatan, bulan depan.

Mereka ialah K. Linggam, Ronny Harun, V. Thirumurugan, Ahmad Azlan Zainal, Mat Saiful Mohammad, Zairo Anur Zalani, Mohd. Fadzli Saari, Azi Shahril Azmi, Rudie Ramli dan R. Surendran yang membarisi skuad Bawah 23 Tahun sebelum ini.

Turut disenaraikan semula ialah tonggak skuad ketiga terbaik Piala Tiger 2005 iaitu Syamsuri Mustaffa, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabudin Hussain, K. Nanthakumar dan Amri Yahyah.

Bagaimanapun ketara tercicir menjelang pertemuan dengan All White di Christchurch dan Albany, Auckland pada 19 dan 23 Februari ialah ketua pasukan Piala Tiger, Rosli Talib.

Tidak disenaraikan juga ialah Shukor Adan, Ahmad Tharmini Saiban dan D. Surendran (Selangor), Liew Kit Kong (MPPJ), Hairuddin Omar dan V. Saravanan (Pahang) serta pemain Perlis, Ivan Yusoff.

Penyerang Selangor, Khalid Jamlus dan Mohd. Nor Ismail dari Perak yang menyerlah dalam Piala Tiger dan Sukan SEA, turut tiada kali ini tetapi agak mengejutkan ialah kembalinya sayap kiri Pahang, Indra Putra Mahyuddin dalam senarai 25 pemain.

Muka baru yang turut dipanggil melapor diri di Wisma FAM mulai Selasa ini ialah penjaga gol, Nasril Nourdin; P. Gunalan, Fazli Baharuddin, Hardi Jaafar, Yazli Yahya, Saramsak Kram dan Mohizam Shah Dawood Shah.

Faizal Rashid, anak bekas penjaga gol kebangsaan, Rashid Hassan juga mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Norizan Bakar dan Safee Sali, penyerang Sarawak yang digugurkan daripada skuad Sukan SEA.

Sesi latihan kali ini yang akan dihimpit jadual padat Liga Super dan Liga Perdana, ditetapkan sehingga 31 Januari dan kesemua pemain diarah melapor diri kepada penolong jurulatih kebangsaan, Nasir Yusof.

Selain New Zealand, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, Malaysia akan menghadapi Singapura dalam dua lagi perlawanan persahabatan secara timbal balik, pada hujung Mei dan awal Jun.

``Kita juga bekerjasama melangsungkan perlawanan antara juara Liga Super, Perlis dengan juara Liga Singapura, Tampines Rovers dan§ juara Piala FA, Selangor menentang juara Piala Singapura, Home United.

Katanya, FAM sedang menimbangkan kemungkinan menghantar skuad Bawah 20 Tahun bimbingan K. Rajagopal ke Piala Singapura jika tidak menjejaskan program persediaan mereka.

Skuad ini yang akan menghadapi pusingan akhir Kejohanan Asia di Kolkata pada 29 Oktober hingga 12 November, telah dirancang untuk menjelajah India, Asia Barat dan Eropah sebagai sebahagian persediaan mereka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jbr5ePhC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan